Monday, June 20, 2011


Muzik dan Si Bangkrap


 Oleh: Mazir Ibrahim
i.
Dalam istilah bahasa ia bermakna muflis. Tetapi dalam pengertian ekonomi ia menjelaskan tentang satu keadaan seseorang atau satu kumpulan (organisasi) yang tiada upaya untuk membayar kembali hutangnya. Kisah tentang wang atau hal pinjaman atau perniagaan sekalipun, tidak akan pernah berhenti,  sebaliknya berputar-putar dalam lingkaran yang sama. Kita tidak berminat untuk itu.
Dalam dunia kreatif, bangkrap ini akan lekas-lekas dikaitkan dengan muflis ide.  Orang yang bangkrap dari aspek ekonominya, mungkin esok akan dapat keluar dari senarai hitam dan kembali ‘meminjam’ dan berniaga seperti usahawan atau karyawan lain.‘Meminjam’ adalah kegiatan utama kita, walau sebagai manusia apa sekalipun. Jelasnya, dengan meminjam kita akan jadi bangkrap dan dengan ‘meminjam’ jugalah kita dapat di’putihkan’ dari sistem ekonomi yang sofistikated ini.
ii.
Seseorang yang telah jatuh bangkrap, imej yang dipaparkan dalam arena muzik lebih enak berbanding imej dalam bidang perniagaan. Dalam dunia muzik, tiada istilah atau deklarasi yang menyatakan seseorang karyawan itu ‘muflis’ ide, baik di akhbar atau notis di mana-mana. Imej ini akan bertambah molek lagi dengan lakonan popular insan karyawan yang pada hakikatnya sudah dan sedang kering idea
Dengan ‘meminjam’ idea dari kutu-kutu rayau mana pun, atau dengan lain perkataan ‘meniru – menciplak atau plagiat’ idea dari tepi jalan. Mereka menggunakan skill ‘menggubah’ dengan pakej ‘rawatan seni’ – maka karyawan muflis ini akan terus bernafas. Ia adalah hukum yang berjalan sebegitu rupa, di mana-mana pun.
Fenomena kemarau atau muflis atau bangkrap idea ini berlaku pada siapa pun. Tidak kira kamu seorang tokoh atau kamu seorang yang masih hijau dalam berkarya. Tidak ada formula untuk mengelak dari malapetaka ini. Maka bukanlah sesuatu yang releven untuk kita selesaikan hal ini dalam konteksnya. Apa yang menarik adalah, bagaimana kita sebagai karyawan, menghadapi dan mencari jalan keluar yang terbaik ketika berhadapan dengan krisis ‘muflis idea’ ini.
Ada yang mula mencium tikar sembahnya – mohon diturunkan ilham dari langit.
Ada yang kembali semula ke tepi-tepi jalan bersama Si Gelandangan – moga-moga dapat inspirasi dari longkang-longkang yang hanyir.
Ada yang terus bertukar menjadi usahawan kerepek – dengan impian baru.
Kesemua ini, adalah tindak balas yang normal, tidak salah kerana mungkin itu sememangnya yang terbaik bagi diri seseorang. Tetapi itu bukanlah penyelesaian dalam konsep yang dapat kita pelajari sebagai karyawan.
iii.
Jalan keluar dari krisis kemarau idea ini bukanlah berbentuk ‘plan kontijensi’ seperti amalan yang biasa kita fahami. Penyelesaian untuknya adalah dengan melihat kembali niat kita ketika mana kita bermula sebagai karyawan. Cuba kita ingat-ingat semula. Kita berkarya untuk apa? Kembali ke ‘drawing board’ atau ‘back to the note’ menjelaskan lagi bahawa proses manusia berkarya memerlukan penilaian semula. Hasil penilaian semula ini tidak pula memberi hasil seperti yang kita sangka atau harapkan. Atau dengan kata lain, hasilnya bersifat boleh-ubah.
Berbeza dengan penilaian dari aspek ekonomi atau pengurusan, ia bersifat objektif dan rigid – angka dan simbol. Penyelesaian dalan konsep ini pasti mempunyai hasil menurut jangkaan berdasarkan analisis sesuatu permasalahan – senario.
Antara dua ‘jalan keluar’ ini, hasilnya menzahirkan kontradiksi , yang mana ia menjadi perlawanan antara fitrah manusia yang bekerja dengan ide dan manusia yang bekerja dengan angka. Hukum sains dalam banyak hal adalah sangat rigid tetapi ironinya, teori sains bertolak dari idea.
iv.
Istilah ‘meminjam’ idea ketika berlakunya fenomena ‘muflis ide’ hanyalah jalan singkat yang berjangka hayat pendek. Kita mungkin mampu menggubahnya indah-indah hingga menjadi ‘kita’. Sayangnya, karya seni tidak pernah berbohong tentang siapa dirinya yang sebenar. Karyawan plagiat sememangnya tidak akan ada kepedulian tentang ‘kejujuran’ ini.
Seperti yang disebutkan sebelumnya, kerja ‘meminjam’ ini adalah kerja hakiki semua manusia. Pelukis meminjam awan dan diletakkan ke dalam kanvas catannya. Penyanyi meminjam suara angin dalam alunan nyanyiannya. Peniaga meminjam modal untuk berniaga, peguam meminjam bahan kes untuk membuktikan hujahnya. Maka istilah meminjam dalam konteks ini bukanlah plagiat sebaliknya memanipulasi pengetahuan dari alam menjadi ilmu. Berbeza dengan plagiat yang jelas selalu dilakukan oleh sang opurtunis.
v.
Sebagai karyawan, situasi ‘bangkrap idea’ ini adalah proses alamiah yang ilmiah. Tindakbalas kita yang terbaik adalah dengan mengambil kesempatan dan menggunakannya untuk menilai semula mutu dan kerja-kerja seni kita, hasilnya mungkin mencetus lanskap ides yang baru. Ides kita adalah imaginasi kita. Adakah perkara lain yang lebih mencabar dari hal ini?

Mazir Ibrahim
, seorang komposer dan penggiat MusicForum, sebuah kumpulan yang giat mengangkat isu dan wacana perbincangan musik di Malaysia.

No comments:

Post a Comment