Saya ada terbaca tentang 'survival' lagu baru di radio tulisan Zainuri Misfar (Hip-Berita Harian-Isnin-23 Ogos 2010). Memang menyedihkan. Kerancakan muzik Melayu era 60-an hingga 90-an sudah semakin layu. Sudah tidak banyak ciptaan baru yang berkumandang di radio. Saya tidak ingin komen tentang kerenah-kerenah pihak yang terlibat, tetapi satu perkara yang perlu kita khuatirkan ialah mengenai trend atau budaya yang melingkungi ruang pemikiran pembikin-pembikin muzik itu sendiri. Kebanyakan karya baru sudah mula melupakan jiwa sebenar orang Melayu. Sepatutnya penggiat muzik Melayu perlu memahami apa sebenarnya yang diinginkan oleh orang-orang Melayu.
Orang Melayu tidak kira berapa tinggi pun tahap akademiknya, masih memerlukan lagu-lagu yang berjiwa Melayu. Orang Melayu yang sebenarnya berjiwa lembut. Oleh yang demikian biarlah lagu dicipta nanti masih ada kelembutan dalam kekerasannya. Sebagai contoh, Lagu-lagu Hard Rock kumpulan Search, bila didengar berulan-ulang kali masih ada unsur-unsur kelembutannya. Justeru betapa METAL pun lagu yang seangkatan dengannya, kita masih boleh mendengar jiwa yang lembut dalam dendangan.
Saya tidaklah berasa hairan apabila lagu-lagu dari seberang telah dan masih mendapat tempat di dalam hati peminat Melayu di Malaysia. Jiwa orang Melayu boleh dibeli dengan lagu-lagu yang melankolik waima temanya keras. Sekarang pun kita boleh lihat Mat Punk menangis (tangkap leleh) apabila mendengar lagu-lagu raya lebih-lebih lagi perantau atau yang telah membuang ibu dan bapa serta saudara.
Lagu-Lagu Berjiwa Melayu akan terus bergema di angkasa.
No comments:
Post a Comment