Tuesday, August 31, 2010

Petikan dari akhbar Utusan Malaysia - 29 Julai 2009

RAMAI orang terutamanya dari negara dunia ketiga termasuklah di Malaysia menganggap muzik tidak penting. Muzik sering dikaitkan untuk tujuan berhibur semata-mata tetapi kalau boleh bikin duit, itu paling bagus.
Sebabnya, di negara kita tidak ramai yang telah menjadi kaya raya kerana muzik. Kalau ada pun, bilangannya boleh dibilang dengan jari.
Lebih baik jadi doktor, peguam atau apa juga pekerjaan yang lain. Sebagai budak pejabat sekali pun tidak mengapa. Sekurang-kurangnya mereka ada gaji tetap setiap bulan.
Itu mentaliti kita tentang muzik. Kita hanya melihat muzik daripada skop yang cukup sempit. Bidang muzik atau peranannya dianggap tidak penting seperti kerjaya-kerjaya lain.
Seolah-olah kita menidakkan kekuatan spiritual alunan tiupan saksofon pemuzik seperti Kenny G misalnya, berbanding terapi seorang doktor sakit jiwa terhadap pesakitnya.
Mentaliti itu timbul antara lain kerana kita terlalu memikirkan bagaimana mahu 'membuat duit' daripada muzik. Sedangkan kita malas berfikir bagaimana mahu menjadikan muzik lebih bernilai daripada duit.
Itu daripada segi tarikan luaran. Apabila bercakap daripada segi dalaman pula, bagaimana sumbangan muzik dalam mempengaruhi emosi, psikologi, ketrampilan diri dan pembentukan nilai intelek seseorang?
Ia agak terlalu jauh ke depan. Mungkin kita tidak terfikir sampai ke tahap itu lagi. Apa pun, ia boleh dimaafkan sesuai dengan taraf kita yang tinggal di negara membangun.
Bagaimanapun, dalam menuju ke arah negara maju pada tahun 2020, ramai juga di antara kita yang telah mulai sedar peri pentingnya muzik.
Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (MAME) contohnya, mengalu-alukan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sejak sekian lama prihatin dalam menerapkan pendidikan muzik di peringkat sekolah rendah.
Matapelajaran muzik yang diserapkan menerusi ko-kurikulum sekolah memang suatu pendekatan yang seiring dengan keperluan negara dalam menuju ke arah negara maju. Bak kata orang, melentur buluh biarlah daripada rebung.
Sayangnya, minggu lalu terdengar pula ura-ura KPM bercadang mahu mengurangkan masa 60 minit seminggu yang diperuntukkan dalam Pendidikan Muzik dalam kurikulum sekolah rendah.
Pengurangan waktu dalam matapelajaran muzik itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan hasrat kita dalam melahirkan 'celik muzik' di kalangan generasi pelapis pada masa depan.
Sebabnya, kuota masa untuk matapelajaran muzik sebelum ini boleh dianggap tidak penting dan hanya sisipan sahaja. Malah, jumlahnya antara yang paling sedikit jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
Dalam isu ini, cadangan KPM yang mahu mengurangkan jumlah waktu pengajaran dalam matapelajaran muzik yang selama ini memang terlalu sedikit harus dipertimbangkan semula.
Kita sepatutnya mengambil contoh negara-negara maju seperti Jepun yang mewajibkan setiap murid gred 1 hingga 9 (tahun 1 hingga tingkatan 3) mengikuti pelajaran muzik selama 120 minit seminggu.
Boleh dikatakan setiap sekolah di Jepun menyediakan kemudahan dan peralatan serta bahan pengajaran lengkap untuk pengajaran matapelajaran muzik.
Sementara di Jerman pula, setiap murid dari peringkat tadika hingga ke gred 12 (tingkatan 2) pula diwajibkan mengikuti matapelajaran muzik sekurang-kurangnya 90 minit seminggu.
Pendedahan dalam bidang muzik terutamanya daripada peringkat awal tumbesaran kanak-kanak amat penting dan dipercayai banyak mempengaruhi emosi serta pemikiran kanak-kanak.
Tidak hairanlah ramai pakar psikologi Barat yang mendedahkan muzik pada peringkat dalam kandungan lagi dengan muzik-muzik tertentu seperti klasikal bagi membantu perkembangan otak janin.
Dunia pendidikan Islam juga tidak ketinggalan menerapkan alunan irama-irama tertentu dalam melahirkan insan yang membangun seiring dengan pengaruh spritual dan jasmani sejak bayi masih dalam kandungan.
Selain itu, pendidikan muzik pada peringkat kanak-kanak juga akan mendedahkan mereka dengan pelbagai genre dan perkembangan muzik yang amat luas cabang genre serta daya kreativitinya.
Muzik seharusnya dibincangkan secara lebih intelek bagi mengupas segala macam nilai pemikiran dan kreativiti dalam penghasilannya. Daripada situ ia juga boleh diadaptasi ke dalam pelbagai lagi bidang yang merangkumi kerjaya dan cabang-cabang kehidupan yang lain.
Kalaulah pendekatan ini dipandang serius, kita yakin generasi sekarang yang banyak didedahkan dengan muzik akan menjadi lebih progresif pada masa depan.
Pendidikan muzik sejak dari peringkat kanak-kanak secara tidak langsung akan mudah melahirkan masyarakat yang bukan sahaja 'celik muzik' tetapi juga tahap apresiasi mereka yang lebih tinggi.
Para peminat kelak tentunya akan mempunyai citarasa dan pemilihan atas sesuatu karya muzik dengan memilih hanya yang benar-benar kreatif serta bermutu sahaja.
Tidak hairanlah industri muzik tanah air sekarang ini kelihatan statik kerana ia antara lain berpunca daripada tahap citarasa, pendedahan dan pengetahuan kita yang amat cetek dalam bidang muzik.
Pada masa sama, masalah cetak rompak atau hak-hak serta undang-undang yang berkaitan harta intelek juga mungkin dapat ditangani dengan lebih mudah pada masa depan.
Ini kerana apalah gunanya negara mencapai status negara maju sedangkan tahap pemikiran, pengetahuan dan apresiasi kita termasuklah terhadap muzik masih lagi berada ditakuk seperti negara dunia ketiga?



(Bahan ini saya songlap dari http://artariffin.blogspot.com/ my mentor... sori bro... saja nak memeriahkan suasana..)

Wednesday, August 25, 2010

ALHAMDULILLAH

   Sudah semakin ramai peminatku yang mula menerokai blogku ini.
          

BERSYUKUR, BERSYUKUR, BERSYUKUR

Bersyukur dengan segala apa yang Allah berikan. Hari ini aku masih boleh bernafas dengan seribu nikmat. Sebenar aku tidak menjangka akan sampai ke tahap ini di dalam perjalanan hidupku. Allah Maha Kaya, apabila dikenang akan kisah silam yang serba kekurangan, aku rasa aku masih menjadi manusia yang paling bertuah. Masih punya ayah dan ibu, keluarga yang bahagia, anak-anak yang berjaya, punya kerjaya yang baik, dan sedikit harta yang cukup untuk kami.

Tuesday, August 24, 2010

LAGU MELAYU CIPTAAN BARU SEMAKIN LAYU

         Saya ada terbaca tentang 'survival' lagu baru di radio tulisan Zainuri Misfar (Hip-Berita Harian-Isnin-23 Ogos 2010). Memang menyedihkan. Kerancakan muzik Melayu era 60-an hingga 90-an sudah semakin layu. Sudah tidak banyak ciptaan baru yang berkumandang di radio. Saya tidak ingin komen tentang kerenah-kerenah pihak yang terlibat, tetapi satu perkara yang perlu kita khuatirkan ialah mengenai trend atau budaya yang melingkungi ruang pemikiran pembikin-pembikin muzik itu sendiri. Kebanyakan karya baru sudah mula melupakan jiwa sebenar orang Melayu. Sepatutnya penggiat muzik Melayu perlu memahami apa sebenarnya yang diinginkan oleh orang-orang Melayu.

       Orang Melayu tidak kira berapa tinggi pun tahap akademiknya, masih memerlukan lagu-lagu yang berjiwa Melayu. Orang Melayu yang sebenarnya berjiwa lembut. Oleh yang demikian biarlah lagu dicipta nanti masih ada kelembutan dalam kekerasannya. Sebagai contoh, Lagu-lagu Hard Rock kumpulan Search, bila didengar berulan-ulang kali masih ada unsur-unsur kelembutannya. Justeru betapa METAL pun lagu yang seangkatan dengannya, kita masih boleh mendengar jiwa yang lembut dalam dendangan.

       Saya tidaklah  berasa hairan apabila lagu-lagu dari seberang telah dan masih mendapat tempat di dalam hati peminat Melayu di Malaysia. Jiwa orang Melayu boleh dibeli dengan lagu-lagu yang melankolik waima temanya keras. Sekarang pun kita boleh lihat Mat Punk menangis (tangkap leleh) apabila mendengar lagu-lagu raya lebih-lebih lagi perantau atau yang telah membuang ibu dan bapa serta saudara.

       Lagu-Lagu Berjiwa Melayu akan terus bergema di angkasa.