SEJARAH MUZIK

Koir

       Koir pada asalnya merupakan satu kumpulan penyanyi yang kebiasaannya membuat persembahan di gereja yang berunsur keagamaan. Setiap lapisan suara dinyanyikan lebih daripada seorang, samada dengan iringan atau tanpa iringan alat muzik. Muziknya mungkin dalam bentuk monofoni, seperti dalam Gregorian Chant (Zaman Pertengahan) atau berbentuk polifoni (dengan beberapa lapisan suara). Ianya mungkin dipersembahkan oleh lebih daripada 12 orang penyanyi atau kurang, atau dalam satu kumpulan yang besar yang mengandungi beberapa ratus penyanyi.

Jenis suara yang terdapat dalam koir biasanya adalah:
Soprano (S) (suara perempuan tinggi)
Alto (A) (suara perempuan rendah)
Tenor (T) (suara lelaki tinggi)
Bass (B) (suara lelaki rendah)

       Kini, koir juga merupakan satu nama am bagi sesuatu kumpulan nyanyian yang menyanyi bersama dalam persembahan contohnya, koir sekolah, koir kebangsaan, dan lain-lain. Lagu-lagu yang dinyanyikan adalah seperti lagu berunsur patriotik dan juga lagu yang digemari ramai. Lagu-lagu ini biasanya digubah semula untuk disesuaikan dengan nyanyian koir. 














NASYID

       Perkataan ‘nasyid’ atau ‘insyad’ dihasilkan daripada perkataan ‘nasyada’ dan kemudiannya menjadi ‘ansyada’ yang bermaksud berpuisi, bersajak, bersyair, mengalun suara atau berzikir.  Lagu-lagu nasyid adalah dendangan syair berirama Padang Pasir yang bertemakan Islam, bertujuan menyampaikan dakwah.

      Nasyid yang terulung pernah direkodkan dalam sejarah Islam ialah semasa penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah.  Baginda disambut dengan nyanyian lagu nasyid ‘Tola’al Badru’.  Di Malaysia, kegiatan nasyid diperkembangkan oleh para qari dan qariah yang telah menerima didikan ajaran Al-Quran secara langsung atau tidak langsung sejak sebelum Perang Dunia Kedua pada tahun 1940.

       Nasyid pada asalnya didendangkan secara tidak rasmi di pekarangan rumah selepas mengaji al-Quran dalam keadaan duduk di atas lantai secara berkeliling.  Guru-guru mengaji, sementara murid bernasyid.  Proses pengajaran dan pembelajaran adalah secara peniruan (rote) dan secara berbalas-balas (call and response).  Pada masa ini, nasyid dipersembahkan secara kumpulan besar, kumpulan kecil dan secara individu atau solo di atas pentas dengan cara berdiri dalam barisan berkumpulan lelaki dan/ atau perempuan. Persembahan dalam kumpulan biasanya terdapat penyanyi solo yang menyanyikan bahagian melodi tertentu dalam sesebuah lagu.  Semasa persembahan, ada kumpulan yang langsung tidak membuat sebarang pergerakan dan ada juga yang membuat sedikit pergerakan yang tertib sesuai dengan mesej atau senikata lagu dengan tidak berlebih-lebihan atau tidak melampaui batas kesopanan.  Cara berpakaian setiap ahli nasyid biasanya mencerminkan budaya Islam dan menutup aurat. 

       Lagu-lagu nasyid biasanya berlandaskan melodi Timur Tengah seperti Bayyati, Rast, Nahawand, Hijaz, Saba, Kurd, Sikah dan ‘Ajim yang digunakan dalam pembacaan al-QuranKebiasannya nada yang digunakan ialah nada minor.  Walau bagaimanapun pencipta lagu nasyid pada masa ini, tidak lagi menghadkan ciptaan mereka dalam nada minor sahaja, malahan menggunakan juga nada major.  Lagu-lagu nasyid lazimnya dalam bentuk AAAA, AAAB, AABA dan ABCD dan mempunyai tekstur monofonik.  Rentak yang biasa digunakan ialah rentak masri.  Kini, banyak lagu-lagu nasyid telah digubah dalam berbagai rentak supaya lebih banyak variasi dan kedengaran lebih menarik.  Pada asalnya nasyid di Malaysia menggunakan senikata dalam bahasa Arab Klasik tetapi kemudiannya berkembang dengan penggunaan bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.



       Pada peringkat permulaan perkembangan, nasyid dipersembahkan secara a capella iaitu tanpa menggunakan muzik iringan.  Perkembangan muzik sezaman kemudiannya juga turut mempengaruhi nasyid dan mula menggunakan alat-alat muzik membranofon seperti rebana dan kompang pada zaman 1940-an sebagai muzik iringan; pada tahun 1950-an nasyid diiringi oleh kumpulan ghazal atau asli; pada tahun 1960-an oleh kugiran; pada tahun 1970-an oleh orkes dan seterusnya oleh orkestra sehinggalah penggunaan sintesizer dan juga muzik ‘minus one’.

        Fungsi utama nasyid ialah untuk menyampaikan dakwah mengingatkan manusia khususnya kaum muslimin mengenai ajaran-ajaran al-Quran dan Hadith Nabi Muhammad S.A.W serta menerapkan nilai kehidupan, moral dan akhlak yang baik.  Selain dari itu, nasyid juga menjadi hiburan dan sebagai acara sampingan sempena pertandingan membaca al-Quran peringkat negeri, kebangsaan, antarabangsa dan juga dalam majlis-majlis yang lain.  Pada tahun 1990-an, nasyid mula dipertandingkan di peringkat sekolah, negeri dan juga kebangsaan.

           Nasyid  di Malaysia mengalami perkembangan yang pesat sehinggalah wujudnya fenomena baru iaitu industri muzik nasyid melalui kumpulan-kumpulan nasyid seperti Raihan, Brothers, Rabbani, Hijjaz, Huda, dan juga penyanyi-penyanyi nasyid perseorangan seperti An-Nur, Imad, Khairil Johari Johar, Sharifah Aini dan lain-lain.
                                                 (Dipetik daripada Buku Sumber Pendidikan Muzik KBSM)




Sejarah seni dan muzik dlm tamadun Islam

PENDAHULUAN
          Nyanyian dan muzik boleh mengubah sikap ke arah pencapaian peradaban yang bererti di samping mempunyai kekuasaan tersendiri hingga boleh menukar emosi menjadi terharu, sedih, pilu, menangis bahkan gila. Hal Ini menunjukkan bahawa nyanyian dan muzik sangat rapat hubungannya dengan jiwa manusia. Oleh itu, kesenian ini perlu dikawal dan diberi perhatian supaya tidak merosakkan jiwa dan moral manusia. Islam dari segi falsafahnya menyatakan nyanyian dan muzik haruslah bertujuan ke arah pembentukan peribadi dan sebagai tali penghubung ke arah taqwa kepada Allah. Islam tidak mengizinkan nyanyian dan muzik yang melalaikan manusia dari kewajiban
terhadap Allah. Seni yang merosakkan adalah seni sesat yang hukumnya haram dan patut dijauhi.

SEJARAH SENI MUZIK SEBELUM ISLAM
          Negara Arab selatan merupakan antara negara yang tertua yang mana di dalamnya masih lagi bergema sebahagian daripada kebudayaan-kebudayaan lama. Muzik dan puisi berkembang walaupun tiada penulis-penulis yang menulis tentang perkembangan ini secara khusus dan terperinci. Diceritakan daripada al-Isfahani bahawa raja Tubba’ yang terakhir iaitu ‘Als ibn Zaid merupakan orang pertama yang menyanyi di Yaman. Lagu-lagu sebelum Islam di Yaman muncul pada abad ke 19 iaitu ketika zaman Al-Mas’udi yang banyak terpengaruh dengan petikan-petikan puisi ibn Khurdadhbih. Rakyat Yaman pada ketika itu diperkenalkan dengan dua jenis muzik iaitu Himyari dan Hanafi. Muzik Himyari merupakan muzik yang berbentuk klasik. Antara alat muzik yang digunakan adalah kebanyakannya berasal dari selatan Arab. Antaranya ialah seperti mi’zaf dan kus (dram kawah). Sehingga hari ini, orang-orang Arab di Hijaz mengakui bahawa muzik Arab yang terbaik dan sebenar ialah berasal dari Yaman kerana Hadrami Mintrels seorang artis terkenal yang juga berasal dari Yaman. Di ‘Ukaz iaitu salah sebuah negeri di Hijaz, ramai penyajak dan seniman yang mengembara ke seluruh pelusuk semenanjung Arab untuk mencari ilmu pengetahuan dalam bidang kesenian. Di sini juga terdapat bacaan dan nyanyian daripada mu’allaqat yang terkenal. Pada zaman Bani ‘Amaliq, seniwati-seniwati legenda telah dipanggil semula bagi memeriahkan lagi bidang kesenian pada ketika itu. Ahli muzik dari Al-Hijaz didapati berkebolehan dalam pelbagai bidang. Antara alat muzik yang digunakan adalah seperti mizhar, mi’zafa (alat muzik bertali), qussaba (seruling), mizmar dan duff (rebana).



          Ramai yang mendakwa bahawa al-Hijaz merupakan pusat kepada perkembangan muzik. Seorang pengarang iaitu ‘Iqd al-Farid mengatakan bahawa muzik memberi kesan yang  banyak kepada rakyat di Madinah,  Thaif, Khaibar, Wadi al-Qura dan sebagainya. Al-Hira merupakan salah satu lagi pusat kebudayaan yang terpenting. Walaupun dalam kejatuhan Bandar Babylon, Mesopotamia masih lagi aktif dalam bidang kesenian. Hal ini kerana antara senimannya seperti Chaldaeans, Aramaeans dan Jews yang masih lagi aktif dengan kebudayaan bangsa arab. Di al-Hira juga seorang raja parsi iaitu Bahram Ghur telah dihantar sebagai putera raja untuk dididik dan mendalami tentang kesenian dan kebudayaan. Di sini, dia telah diajar muzik yang terkenal dikalangan orang Arab. Apabila baginda menaiki tahta, perkara pertama yang dilakukannya ialah meningkatkan taraf ahli muzik di mahkamah parsi. Al-Tabari menyatakan bahawa pada akhir zaman pemerintahan raja Lakhmid di al-Hira iaitu al-Nu’man III, yang mempunyai kelebihan dan minat yang luar biasa dalam bidang muzik. Kebudayaan arab pada umum nya telah banyak mempengaruhi al-Hira. Seperti yang diketahui bahawa al-Hira merupa kan pusat kepada perkembangan puisi. Dinyatakan juga bahawa penyajak-penyajak seperti al-Nabigha, Tarafa, ‘Amr ibn Khulthum dan ‘Adiibn Zaid telah dilayan dengan baik sekali. Di sini dapat dilihat betapa rapatnya hubungan antara muzik dan puisi yang sama -sama hebat dan digemari. Al-Hijaz juga telah meminjam banyak lagu artistik daripada al-Hira daripada menggunakan nasb yang terpakai. Syria juga merupakan salah satu pusat kebudayaan yang terpenting sehingga bencana perang yang berlaku pada 272 AD. Budaya yang khusus dalam kerajaan Nabataeans ialah seni petra, bosra dan palmyra dan ini merupakan sebahagian daripada seni muzik kerajaan Nabataeans. Strabo menyatakan bahawa ahli-ahli muzik dalam kerajaan ini aktif dalam bidang kesenian dan kebudayaan. Sheikhs Ghassanids yang merupakan maharaja Bizantium yang terlama dan banyak dipengaruhi oleh budaya Bizantium. Pada masa ini, budaya Ghassanid merupakan budaya yang paling terkenal di kalangan raja arab di zaman jahiliyyah. Al-Nabigha dan Hassan ibn Thabit telah memberikan sumbangan dalam kesenian di mah- kamah Ghass anid yang mana mereka berdua bukan sahaja ahli muzik dari Arab tetapi karya mereka diminati dan dinyanyi oleh seniwati-seniwati al-Hira dan Byzantium. Orang-orang Arab Badawi merupakan golongan seperti mizhar, kiran, muwattar (alat muzik bertali), mizmar, duff (rebana), jalajil (loceng) dan naqus (anak loceng).



          Menurut bangsa Arab yang kuat berpegang kepada salasilah, muzik memberi kesesuaian dan semangat dalam salasilah keluarga. Jubal iaitu anak kepada Cain (Qain) telah mencipta sebuah lagu yang merintih kerana kematian Abel. Bar Hebraeus iaitu salah seorang rakyat Syria yang menyatakan bahawa pencipta alat-alat muzik pada ketika itu merupakan anak perempuan kepada Cain. Anak lelakinya pula iaitu Tubal telah memperkenalkan beberapa alat muzik seperti tabl (dram) dan duff (rebana).Pada zaman jahiliyyah juga muzik memainkan peranan yang penting dalam meramalkan misteri Arab, ahli sihir dan perihal kenabian. Pada zaman ini juga terdapat seniwati-seniwati yang memainkan peranan dalam bidang muzik dan kesusasteraan kehidupan. Dalam perjalanan peperangan Uhud, tentera-tentera dihiburkan oleh seniwati dengan lagu-lagu daripada Hind binti ‘Utba yang menyanyikan lagu perang dan keluhan sambil memainkan rebana.










SEJARAH SENI MUZIK PADA ZAMAN RASULULLAH S.A.W

                   Salah satu perkara yang mengusutkan dan membimbangkan pada zaman ini ialah persoalan sama ada mendengar dan bermain muzik itu dibenarkan atau tidak dalam Islam. Bukan mudah untuk memahami bagaimana persoalan ini muncul. Ini kerana dilihat tiada kritikan secara terus yang menentang muzik dalam al-Quran. Lebih daripada itu, patut diketahui kenyataan bahawa muzik merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan sosial masyarakat arab. Dilihat juga sesuatu telah meresap ke dalam jiwa orang- orang arab tentang muzik sehingga Umayya ibn Abi’l Salt yang merupakan seorang yang mementingkan kemoralan dan menganggap hiburan tertentu itu berdosa, tidak menyatakan sesuatu yang menunjukkan dia menghalang muzik.

             Pada masa ini, alat-alat muzik didakwa menjadi suatu perkara yang dapat menguasai manusia kearah keburukan. Ianya juga didakwa dapat menyeru manusia ke arah pemujaan syaitan. Dalam kitab al-Aghani iaitu merupakan salah satu kitab yang terkenal telah menceritakan bahawa tiada halangan yang spesifik keatas muzik pada zaman permulaan Islam.

                 Tradisi atau sejarah ada yang menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w bertoleransi dan dapat mene- rima muzik yang berbentuk instrumental. Malahan, perkahwinannya sendiri dengan khadijah diraikan dengan muzik. Begitu juga semasa perkahwinan puterinya, Fatimah. Sejarawan yang terkenal juga ada yang menyatakan bahawa ramai daripada ahli muzik yang menjadi sahabat nabi dan pengikutnya.

           Pada zaman Harun al-Rashid, ahli-ahli muzik selalunya sukar untuk memperoleh keadilan di mahkamah. Ini kerana, Imam al-Shafi’ memandang rendah kepada keterangan lisan atau bertulis yang dibuat oleh seseorang yang berkecimpung dalam bidang kesenian terutama muzik kerana menurutnya keterangan ahli muzik tidak boleh dipercayai. Apabila diperhatikan kesakitan dan akibat yang bakal diterima oleh ahli-ahli muzik, ada yang berpendapat bahawa kesenian muzik tidak akan berkembang di bawah Islam. Pendapat atau jangkaan ini meleset kerana kesenian muzik juga berkembang pada zaman Islam. Pendapat atau pandangan nabi Muhammad s.a.w terhadap muzik mungkin dapat diterangkan dalam pelbagai sudut. Jenis muzik yang mempunyai puisi yang memuja kehebatan jahiliyyah mestilah dijauhi. Muzik merupakan suatu keperluan kepada pelawat-pelawat ke tanah suci. Terdapat banyak muzik yang dimainkan dalam majlis majlis tertentu dalam kehidupan masyarakat jahiliyyah arab. Muzik dibenarkan jika ianya memberi kegembiraan dan kepuasan dalam suatu majlis seperti majlis pertunangan, perkahwinan, ulang tahun kelahiran dan upacara perkhatanan.


             Salah satu perkara yang harus diambil kira juga ialah semangat yang lahir kesandaripada muzik. Misteri kuasa muzik adalah sesuatu yang dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat Arab seharian. Evliya Chelebi iaitu seorang berbangsa turki telah menyebut tiga nama daripada seniman-seniman yang dikatakan telah membuat persembahan muziknya sebelum Islam. Hanya satu nama sahaja yang terdapat beberapa bukti tentang kejayaannya dalam bidang seni muzik ini iaitu ‘Amr ibn Umayyah.


SEJARAH SENI MUZIK ZAMAN KHALIFAH AL-RASYIDIN

                Seni muzik pada zaman khulafa’ boleh dikatakan penggunaannya seakan dihalang dandiharamkan. Kebanyakan khalifah kurang berminat dalam seni muzik. Oleh yang demikian, menurut sejarawan islam moden, sayyid Amir Ali berpendapat bahawakeadaan ini berterusan sehinggalah munculnya generasi-generasi baru.

              Pada zaman Abu Bakar (632-634) boleh dikatakan bahawa muzik adalah suatu yang malahi iaitu kesukaan atau hiburan yang diharamkan. Seniwati yang bekerja sebagai hamba dirumah bangsawan arab mungkin dapat menuruti larangan ini dan tidak melibatkan diri dalam bidang seni. Akan tetapi, seni muzik ini menular dan berleluasa secara terbuka di kedai-kedai arak. Ada antara mereka yang tidak mempedulikan larangan pengharaman muzik. Seniman-seniman yang elegi mungkin dapat bertoleransi dan memahami bahawa sebab-sebab elegi bukan bergantung kepada muzik seperti lagu yang dipanggil ghina. Ramai seniman yang telah dihukum kerana seni muzik. Hukuman ini dikenakan keatas mereka bukanlah disebabkan mereka adalah ahli muzik, akan tetapi kerana mereka telah menyanyi lagu yang berbentuk sindiran dan diiringi dengan mizmar.


                Golongan pemuda Islam pada zaman ini merasa bosan dengan pengharaman muzik ini yang mana ada yang merantau ke negara lain demi melarikan diri daripada kongkongan ini. Mereka cuba mencari dan memperolehi kemenangan, muzik, permainan dan keseronokan yang dapat menghiburakan dan sesuai dengan hati dan sanubari mereka.

                Pada zaman umar (643-644), keadaan dan pandangan beliau terhadap muzik sedikit berlainan daripada pandangan Abu Bakar. Umar dikatakan agak boleh menerima seni muzik. Hal Ini kerana, menurut hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah bahawa umar telah banyak mendengar lagu yang didendangkan oleh seniwati pada zaman nabi. ‘Asim iaitu anak kepada Umar adalah seorang yang aktif dalam bidang muzik pada zaman khalifah Al-Nu’man ibn ‘Adi yang juga merupakan penaung atau ketua kesenian.

                Di bawah pemerintahan khalifah Uthman pula (644-656), suatu perubahan yang hebat dari segi politik dan sosial masyarakat arab telah berlaku. Tidak seperti Khalifah Umar yang sudah berpuas hati walaupun tinggal ditangga masjid di madinah, sifat Khalifah Uthman ternyata berbeza kerana beliau lebih suka kepada kekayaan. Istana yang besar dan megah, bilangan hamba yang ramai dalam  istana, pedati kuda yang berkilauan dan kehidupan yang mewah menjadi suatu arahan dan gaya hidup bukan sahaja dalammasyarakat Iraq dan Syria, yang sudah sedia maklum telah biasa dengan keadaan ini, malah ianya juga menjadi gaya hidup masyarakat Bandar-bandar suci di Hijaz. Dengan adanya dan terbinanya istana-istana dan rumah-rumah golongan bangsawan ini, maka muzik dan ahli muzik mendapat tempat yang tinggi dan istimewa.

             Tidak banyak perubahan yang berlaku pada zaman Ali (656-661). Ini kerana Saidina Ali sendiri seorang seniman dan beliaulah orang pertama yang menubuhkan dan mewujudkan pusat penjagaan yang sebenar kepada kehalusan seni dan surat-surat dengan membenarkan pengajian dalam bidang sains, puisi dan muzik. Bermula daripada saat itu, masa depan muzik terjamin dan selepas pemerintahan zaman khalifah al-Rasyidin, tampuk pemerintahan dikuasai oleh dinasti Umayyah. Pada zaman ini kesenian dikukuhkan lagi secara praktikal di mahkamah.

                Kedudukan muzik dan ahli muzik, yang disertakan dengan maklumat-maklumatyang menjadi bukti kepada teori dan amali kesenian pada zaman awal pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin ditakrifkan mengikut analisis-analisis yang dikaji. Pada zaman pemerintahan Saidina Uthman, suatu bentuk seni yang baru telah muncul di Hijaz iaitu seniman yang dipanggil seniman professional. Seniman professional pertama di Hijaz terdiri daripada beberapa peringkat yang dikenali sebagai mukhannathun. Pada mulanya, semua seniman dan seniwati professional berasal dari golongan hamba.

                Seniman professional Islam yang pertama ialah Tuwais atau nama sebenarnya ialah Abu Abd al-Munaam Isa ibn Abdallah al-Dhaib yang berbangsa Arab dan mendapat pendidikan kesenian muzik di Arab juga. Beliau disanjung tinggi oleh periwayat-periwayat Arab kerana kebolehannya dalam bidang muzik.

             Sa’ib Khathir, walaupun beliau seorang hamba orang parsi, akan tetapi beliau telah mengembangkan muzik arab dan belajar keindahan-keindahan kesenian Parsi. Beliau juga merupakan salah seorang tawanan pada sepasukan tentera dalam peperangan Al-Harra. Beliau hanya menggunakan alat muzik yang dinamakan Duff bagi mengiringi muzik beliau.

                Ada yang berpendapat bahawa muzik menjadi bahasa kebangsaan. Akan tetapi, bagi masyarakat Arab muzik tidak dapat dipisahkan daripada lagu. Hal Ini kerana mereka mempunyai kecenderungan dan mudah terpengaruh dengan muzik dan melodi yang asli yang tidak bercampur dengan muzik asing. Mereka juga mempunyai pandangan yang jelas terhadap sistem muzik asli yang berbeza dengan bentuk kesenian daripada Parsi danByzantium.

                Muzik arab pada zaman ini dikenali melalui alat-alat muzik yang mereka gunakan dan melahirkan pelbagai teknik-teknik muzik. Dalam seni muzik klasik, didapati tiada gabungan antara pelbagai alat-alat muzik dalam persembahan walaupun tiada halangan kepada perkara tersebut.

                Terdapat ramai daripada kalangan sahabat dan kaum kerabat Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi penyokong kepada seni muzik. Antaranya adalah seperti Aishah, isteri kepada Nabi, Hassan, cucu Nabi, Sukaina, anak perempuan Hussin, Saad ibn Abi Waqqas, Aishah binti Saad, Mus’ab ibn Zubayr, Aishah binti Talha dan Abullah ibn Jaafar. Abdullah ibn Jaafar merupakan seorang yang sangat aktif dalam seni muzik sehingga beliau menjadikan istananya sebagai pusat pemuliharaan muzik. Beliau juga merupakan penaung kepada ramai ahli muzik yang utama dan terkenal seperti Tuwais, Saib Kathir, Nashit Nafi al-Khair, Budaih al-Malih, Qand dan Azza al-Maila. Penutupan atau berakhirnya zaman khalifah disaksikan dengan pelbagai pengenalan kepada pelbagai jenis muzik yang dikenali sebagai ghina al-mutqan. Ianyaadalah merupakan penampilan istimewa yang menitik beratkan kepada iqa’ atau rentak melodi lagu yang bergantung kepada panjang rangkap sesuatu lagu.




SEJARAH SENI ISLAM ZAMAN UMAYYAH

Pendahuluan

                Seni muzik merupakan satu keperluan dalam diri setiap manusia, setiap orang memerlukan hiburan untuk menenangkan fikiran dan mencari keseronokan. Tetapi seni muzik dalam konteks Islam adalah berbeza dengan konteks seni muzik barat. Ini kerana seni adalah keindahan. Kecantikannya mencuri pandangan mata, telinga dan jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata atau bahasa. Seni memiliki astetic value atau nilai rasa indah. Seni muzik zaman Umayyah merupakan kesinambungan daripada muzik zaman-zaman sebelumnya iaitu, sejak dari zaman Jahiliyyah, dan zaman Nabi. Seni muzik zaman Umayyah dapat dilihat melalui kemunculan kembali lagu-lagu dan nyanyian-nyanyian yang pernah terkenal pada zaman Jahiliyyah dahulu kala, seperti telah terdapat nyanyian-nyanyian yang didendangkan di perjalanan oleh kafilah unta di malam hari, yang mana unta tersebut telah dihiburkan dengan nyanyian-nyanyian hingga giat berjalan menempuh padang pasir yang luas itu tanpa jemu.

                Irama syair dan gelombang turun naiknya ritma lagu itu kononnya disesuaikan pula dengan gerakan langkah unta yang disesuaikan pula dengan gerakan langkah unta yang diatur oleh pengemudinya menurut ritme dan gerak sukma, diiringi dengan susunan kata yang berirama mendayu-dayu dan menghiburkan. Pada mulanyan bangsa Arab menggunakan unta dalam perjalanan jauh di padang pasir yang tandus. Apatah lagi ditemani dengan suasana yang sunyi sepi, menyebabkan seseorang akan berkhayal jauh, fikiran tidak akan menentu dan melayang jauh dalam khayalan, tidak tahu tempat berlabuh, fikiran juga tidak menentu kepada kekasih yang tidak kelihatan di mata. Di sinilah rasa dan perasaan dicurahkan dalam senikata lagu yang mana fikiran dinyatakan melalui tulisan dan dilahirkan dalam bentuk suara yang menggerakkan sukma dan menteteramkan jiwa. Lagu tersebut didendangkan di saat suasana sepi di gurun Sahara itu, terkadang disinari cahaya matahari yang terik panas, dan kadang-kadang disinari dengan cahaya bulan yang mendesak hati sanubari, meresap di perasaan dengan rasa cinta dan cita yang datang jauh ke dalam jiwa hingga menimbulkan denyutan sukma yang menarik dan memukau bicara yang dilontarkan melalui nyanyian.

                Pada masa pemerintahan Bani Umayyah, rancangan muzik mula meresap masuk ke istana khalifah. Yazid bin Muawiyah adalah orang pertama yang telah mengadakan majlis keramaian untuk menikmati lagu-lagu atau irama muzik. Telah muncul beberapa orang penyanyi terkenal seperti Tuis, Ibni Suraij, Gharidz, Ibni Mahraz dan Ma’bad. Mereka semuanya berketurunan Arab. Di antara penyanyi terkenal itu,muncul pula beberapa orang penyanyi wanita seperti Jamilah dan anak muridnya Hubabah dan Salamah Alqes iaitu hamba kepada Khalifah Yazid bin Abdul Malik. Alat muzik yang wujud ketika itu adalah seperti seruling, trumpet, gendang, tambor dan alat-alat yang menggunakan tali seperti gambus (Mahmood. 1971 : 170-171).

Pemuzik-Pemuzik Di Zaman Umayyah

                Pada masa ini telah ramai seniman-seniman dan seniwati-seniwati yang popular antaranya ialah Said bin Misjah, Syureih, al’-Aridh, ibnu Muhriz, Ibnu Aisyah, Ma’bah, Thuwais, al-Dallah, Jamilah, Hait, Badrul Fud, Nauum el-Duha, Azzatul Maila, Hababah, Salamatul Qass, Balilah dan Lazzatul Aisyi. Seniman-seniman dan seniwati-seniwati tersebut muncul apabila Said bin Misjah memperdalami ilmu pengetahuannya dalam bidang muzik ke Parsi, Syam dan Rumawi. Dan sekaligus telah mengajar orang lain dalam mendalami ilmu muzik tersebut.(Fuad Mohd Fachkruddin: 1985: ms 68-69) Selain daripada itu, pada zaman Umayyah juga terdapat juga seorang seorang seniwati yang ternama mempunyai rupa yang cantik, dan suaranya yang menarik, iaitu Azzatul mailaa’ dilahirkan pada tahun 644 dan sangat mahir dalam bermain ‘uud (gambus). Dipanggil Mailaa’ yang membawa erti miring, dinamakan demikian kerana jalannya miring ke kiri dan ke kanan seperti itik berjalan. Walaupun mempunyai kecantikan rupa paras dan suara yang merdu, beliau memiliki hati yang suci dan baik budi. Isa bin Thuwais lahir pada tahun 632, menyifatkan Mailaa dengan berkata “Ia mrupakan seorang juwita yang memiliki rupa paras yang cantik dan memiliki suara yang merdu, tetapi memiliki budi pekerti yang mulia, ia mengajak kea rah kebaikan dan ia sendiri dalam golongan yang baik. .(Fuad Mohd Fachkruddin: 1985: ms 70)




Tokoh-Tokoh Muzik Zaman kerajaaan Abbasiyyah

Oleh sebab penekanan yang diberikan oleh pemerintah kepada rakyatnya untuk mahir dalam bidang nyanyian dan muzik, telah melahirkan ramai biduan-biduan yang terkenal seperti Ma’bad, ibnu Muhriz, Ibnu Misjah, Ibnu Suraji dan sebagainya. Selain daripada itu terdapat juga biduanita-biduanita yang terkenal seperti Basbas, iaitu penyanyi di istana Khalifah al-Mahdi, Zatul-Khal dan Bazel di istana Khalifah al-Rahshid, manakala Fitna di istana Jaafar al-Barmaki, Dananir di istana Yahya al-Barmaki, dan Neam di istana Khalifah al-Maknun. Manakala al-Kindi dan al-Farabi banyak juga menulis tentang teoriteori muzik.

Selain daripada itu, buku-buku muzik karangan Abu Abdul Rabbih diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai Unique Necklace. Manakala karya muzik al-Isfahan (10 Masihi) telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai The Great Book Of Song, juga dari al-Nawairy (13Masihi), salinannya The Extreme Needs. Karya lagu mereka sangat mengagumkan dunia Eropah dan menjadi sanjungan di sana. Pada masa tersebut telah melahirkan senaman al-Syatibi, yang merupakan seorang pemain biola yang terkemuka dan selalu memainkan biolanya hingga para gadis tidak
dapat tidur kerana kelunakan gesekan biola al-Syatibi. Al-syatibi selalu bermain alat muziknya itu pada waktu malam. Diimbas kembali masa lampaunya dahulu, beliau pernah dipukul oleh ibunya hanyalah kesalahan yang kecil iaitu kerana sepotong kuih. Al-Syatibi menjiwai alat muziknya dengan gelak ketawa adik-adiknya sewaktu kecil dan kesedihan beliau kerana kehilangan rakan dan ditinggalkan kekasihnya membuatkan al- Syatibi menanggis sambil mengesek biolanya. Hanya dengan muzik beliau dapat menenangkan diri dan, menghiburkan hatinya. (Ghazali Darusalam: 2001:258)

Al-Farabi juga merupakan seorang tokoh muzik yang terkemuka pada zaman Abbasiyyah. Nama sebenar al-Farabi ialah Abu Nasir Muhammad bin Auzalagh bin Tarkhan al-Farabi. Al-Farabi juga tergolong sebagai salah seorang ulama’ yang luas ilmu pengetahuannya. Selain sebagai ahli fisafat dan dianggap sebagai guru kedua selepas Aristotle, al-Farabi juga alim dalam ilmu-ilmu lain. Dia banyak mengarang kitab-kitab. Satu keistimewaan yang tidak biasa dimiliki oleh ulama’-ulama’ lainnya ada pada Al-Farabi ialah dia pakar dalam ilmu muzik. Dia bukan sahaja pandai dalam teori tapi juga pandai menyanyi dan memainkan alat-alat muzik . Dia telah mengarang 5 buah kitab tentang muzik.

Suatu hari di istana raja Saif Ad-Daulah ada pesta besar. Para pembesar negara dan orang ramai hadir bersama. Al-Farabi datang ke majlis itu dengan memakai pakaian biasa dipakai oleh ulama’ Turki. Apabila Al-Farabi sampai di majlis itu, dia melihat kekanan dan ke kiri mencari tempat duduk. Baginda raja bertitah ; ‘’Sila duduk!’’ ‘’Akan duduk di mana?’’ Tanya Al-Farabi. ‘’Di situlah.’’ Titah baginda. Al-Farabi mencelah-celah mengambil tempat duduk di samping baginda. Melihat

kelakuan Al-Farabi itu, baginda agak murka dan berbisik kepada seseorang dengan menggunakan bahasa Turki: ‘’orang ini kurang adab . Beta akan menyoalnya, kalau tidak dapat menjawab , beta akan halau dia dari sini.’’ Baginda ingat Al-Farabi tidak faham akan bahasa tersebut, mendengar baginda bertitah begitu , Al-Farabi berkata: ‘’Sabar tuanku .Setiap kesalahan ada hukumannya .’’ Baginda terkejut dan bertanya: ‘’Eh ..rupanya awak faham bahasa yang beta cakapkan .’’ ‘’Benar tuanku. Bahkan patik boleh bertutur dalam 70 bahasa.’’ Baginda dan hadirin sangat kagum . Maka ramailah tetamu terhomat yang mendekati Al-Farabi .Mereka ingin mendengarkan nasihat dan syarahanya . Semua merasa puas akan butir–butir mutiara yang keluar dari mulut ulama’ besar itu. Baginda Saif Ad- Daulah sendiri terus berbual sampai ke bilik jamuan khas. Baginda bertanya kepada Al-Farabi :Mahu makan?‘’ Tidak.’’ Jawab Al-Farabi.‘’ Nak minum apa-apa?’’ Kemudian baginda menawarkan benda lain: “mahu mendengar bunyi –bunyian?” Al-Farabi menjawab : “Ya tuanku .’’Maka baginda memanggil para penyanyi untuk menghibur tetamu yang ramai itu. Apabila para penyanyi mendendangkan lagu-lagunya, Al-Farabi tertawa mendengar nyanyian yang diangapnya sumbang itu dan menegur para artis . Baginda hairan melihat telatah Al-Farabi dan bertanya: “Apakah tuan juga pandai menyanyi?” ‘’ya boleh.” Jawab Al-Farabi. Baginda memberikan alat-alat muzik kepada Al-Farabi. Al-Farabi pun mengambil sebuah gambus dan mulai menyanyi. Lagu pertama yang di bawakan oleh Al- Farabi adalah lagu komedi yang sangat lucu. Hadirin pun ketawa. Baginda sendiri tertawa sampai sakit perut dan meminta Al-Farabi menyanyikan lagu lain.




Kini Al-Farabi mengubah susunan muziknya dan menyanyikan lagu sedih.Tidak berapa lama kemudian hadirin dan raja telah bercucuran air matanya kerana merasa sedih. Ramai yang menangis kerana kesedihan itu. Raja sendiri pun nampak tidak bermaya. Oleh kerana itu al-Farabi mengubah lagi susunan muziknya. Kini dia menyanyikan lagu yang terakhir. Lagu ini sengaja digubah oleh al-Farabi menyebakan penonton merasa teruja. Apabila lagu dinyayikan , sedikit demi sedikit hadirin yang tadinya bersemangat menjadi mengantuk. Masing-masing tidak berdaya untuk menahan mata mereka. Lama-kelamaan hadirin dan baginda tertidur di tempat masing-masing dengan lelapnya. Al-Farabi terus menyanyi, hingga hadirin benar-benar tidur. Ketika itulah dia meninggalkan jamuan dengan tidak disedari oleh sesiapapun.  Apabila baginda dan hadirin benar-benar tidur. Dia pun balik ke rumahnya. Apabila baginda dan hadirin yang lain membuka mata, ternyata al-Farabi telah tiada. Waktu itu telah benar-benar larut malam. Baginda tidak habis-habis hairan dengan kepandaian al-Farabi. (NurulHas: 2000:105)


SEJARAH KESENIAN ISLAM ZAMAN ANDALUS

Pada masa ini mucul ramai penyanyi yang terkenal seperti Abu al-Hasan Ali bin Nafe’ atau lebih dikenali dengan gelaran “Bazriyab”. Pada asalnya beliau adalah seorang hamba yang dibebaskan oleh Khalifah Muhammad al-Mahdi. Beliau telah belajar muzik dan lagu daripada Ishak al-Mausili. Tetapi Ishak bimbang sekiranya Bazriyab dapat mengatasinya lalu dibuat satu helah bagi mengusirnya dari kota Baghdad. Bazriyab
menuju ke kota Andalus dan beliau mendapat kedudukan di istana Amir Abdul Rahman. Pada masa pemerintahan Amir Abdul Rahman, seni muzik dan seni suara begitu berkembang luas di seluruh kawasan di Andalus. Ramai di kalangan pembesar yang mahir memain alat muzik dan menyanyi. Ibrahim al-Mahdi adalah seorang ahli muzik yang terkenal . Khalifah al-Wathiq pula pandai memetik gambus dan beliau telah
mencipta sebanyak seribu lagu. Begitu juga dengan Khalifah Mu’taz yang mempunyai bakat dalam seni suara dan muzik . (Mahmood. 1971 : 172-173).

Alat-alat Muzik Zaman Andalusia

Oud dan gitar Arabia merupakan salah satu alat muzik yang terkenal pada zaman Andalus, ketika pemerintahan Islam di Andalus dan masih digunakan sehingga pihak Kristian dapat menguasai Andalus dari tangan pihak Islam. Ia juga lebih dikenali kecapi di Sepanyol. Kecapi sebenarnya berasal daripada frasa bahasa Arab iaitu al oud. Ia juga berasal daripada perkataan Arabic Qitara. Kecapi merupakan satu alat muzik yang berbentuk gitar yang mempunyai empat alat bertali. Dan juga merupakansatu alat muzik yang penting di Eropah pada abad 12 dan ke 13 kerana ia merupakan salah satu alat muzik yang terkenal dan amat dihormati dalam mahkamah-mahkamah Diraja sepanjang Europe.

SEJARAH SENI MUZIK ISLAM PADA ZAMAN KERAJAAN UTHMANIYYAH

Kesenian muzik pada masa kerajaan Uthmaniyyah berkembang maju berkonsepkan muzik tradisi. Pada masa itu muzik berkembang berdasarkan sifat-sifat yang tersendiri bersumberkan budaya orang Turki yang tertumpu kepada tradisi muzik klasik. Dalam pada itu, muzik Uthmaniyyah mempunyai gaya yang tersendiri yang mengandungi unsur-unsur agama yang didominasi oleh Kerajaan Uthmaniyyah yang mana dipisahkan agama dengan muzik dan sekali-sekala kedua-duanya digabungkan. Orang Eropah telah menggariskan muzik Uthmaniyyah yang menonjol merangkumi empat perkara iaitu peralatan muzik, Janissary atau muzik Mehter, penari perempuan dan bentuk pusingan. Pierre Belon menggariskan tentang kecermelangan orang Turki bermain biola yang mana biasa dimainkan berbanding di Eropah. Beliau juga menyebut tentang satu jenis seruling termasuk dengan miskal (panpipes) yang mana gaya yang terkenal pada masa itu. Di samping itu juga, Belon menitikberatkan mengenai keajaiban bunyi Miskal. Pengembara Itali yang bernama Pietro Della Valle menceritakan dalam tahun 1614 bahawa sebuah alat muzik dihasilkan daripada 14 atau 15 batang buluh yang mana pemain akan meniup seruling menggunakan bibir ke kanan dan ke kiri(Amnon. 1995 : 90). Warisan muzik pada masa kerajaan Uthmaniyyah di Turki terdiri daripada muzik timur yang dibawa dari Greek melalui Byzantine, melepasi Tanah Arab dan kemudian menuju ke Parsi. Muzik klasik pada masa kerajaan Uthmaniyyah merupakan kesinambungan muzik orang Turki zaman dahulu. Muzik monoponik dan melankolik Turki merupakan muzik bernada sedih dan nostalgik. Doric, Eolic dan Phrygian merupakan gaya yang kerap terhasil daripada muzik Turki. Muzik klasik bernada rendah yang berbeza-beza pada setiap frasa. Lagu popular orang Turki adalah lagu yang berunsur cinta dan keberanian ataupun keperwiraan. Muzikal tradisi kerajaan Uthmaniyyah ialah bard iaitu ozan, cogur dan ashik. Unsur-unsur Barat begitu banyak ditemui dalam muzik Turki iaitu suatu yang aneh dari muzik. Ronart menceritakan, gabungan suara iaitu duet antara dua orang individu yang menyampaikan frasa melodi dengan diiringi alat muzik.

Negara Turki dan rakyat negara itu menjadi kebiasaan dengan warisan muzikal dan muzikal begitu berbeza di antara muzik Turki dengan syair iaitu yang berasal dariGreek, Bulgaria dan Tanah Arab. Setiap bidang di negara Turki mempunyai muzik yang tersendiri. Setiap bidang mempunyai lagu yang berbeza-beza dan muzik yang berbezabeza. Sepertimana orang Turki menyanyikan diiringi dengan kopuz, penduduk Serbia menggunakan alat muzik yang diberi nama guslar yang dimainkan secara berulang-ulang bersama-sama dengan epik penceritaan diiringi dengan alat muzik gusle iaitu sebuah alat muzik yang bertali yang berasal dari Asia Kecil barangkali dalam abad ke-11 (Wayne. 1965 : 76-77). Tarian Mewlevis merupakan tarian yang terkenal pada masa pemerintahan Uthmaniyyah. Tarian Mewlevis muncul pada abad ke-13 di Konya pusat pentadbiran kerajaan Saljuk yang berdasarkan muzik ritual. 

SEJARAH SENI MUZIK PADA ZAMAN KERAJAAN MUGHAL

          Semasa pemerintahan Islam,muzik di India terbahagi kepada dua iaitu tradisi muzik Hindustan di utara dan tradisi muzik Karnatak di selatan. Penggubah muzik Hindustan yang sangat mahir ialah Amir Khusrau .Ramai orang percaya bahawa dialah yang mencipta sitar dan tabla. Sementara penggubah muzik Hindustan yang paling terkenal ialah Tansen iaitu seorang vokalis dan pemain peralatan muzik di istana Akbar pada tahun 1500-an (Ensiklopedia Dunia. 2005 :218-219). Akbar memerintah India pada abad ke-16, beliau seorang pemerintah yang menyukai muzik. Beliau melantik ramai ahli muzik yang terkenal seperti Tan Sen, Nayak Baiju, Ram Das Raj Bahadur (raja dari Malwa) dan Tantarang Khan. Di samping itu terdapat juga ahli muzik yang terkenal seperti SwamiHaridas dan Rani Roopmati. Akbar sendiri sudah biasa dengan nyanyian dan alat muzik. Tan Sen merupakan seorang ahli muzik istana pada masa pemerintahan Akbar. Tan Sen banyak mencipta rentak Raga yang baru seperti Miyan kee Todi, Miyan kee Malhar, Miyan kee Sarang, Darbari, Lankdhan, Sarang dan Dhulia-malhar. Selain itu, terdapat ramai lagi ahli muzik istana seperti Raja Man Tanwar dari Gwalior yang dianggap pelopor kepada Dhrupad Gayan. Raja Man Tanwar menyukai rentak Shankirna ataupun gaya yang kontemporari. Beliau juga dikatakan menyukai rentak Sankeeran seperti Gujaree, Bahut Gujaree, Mal Guzari dan Mangal Gujaree. Beliau juga menghasilkan empat buah buku berkaitan dengan muzik seperti Sarvado Uday Chandrovidaya, Raga Mala, Raga Mangaree dan Nartan ataupun Nidayan. Selepas kemangkatan Sultan Akbar pada tahun 1605, pemerintahan kerajaan Mughal di ambil alih oleh anaknya, Jahangir. Beliau tidak begitu gemar dengan muzik tidak seperti bapanya. Pada masa pemerintahan Jahangir, tidak ada aktiviti muzikal yang diadakan.
         
          Walaupun demikian, terdapat juga ahli muzik yang terkenal pada masa pemerintahan Jahangir seperti Jahangeerdad Chhatar Khan, Purvezad dan Khurram-dad Makhu, Haurzard Belaokhan. Terdapat dua buah buku yang menceritakan tentang muzik Rag Bibodh yang ditulis oleh Pt.Somnath dari Rajmundri pada tahun 1609 dan Sangeet Darpan yang dikarang oleh Pt. Damodar Mishra pada tahun 1625. Rag Bibodh menceritakan tentang jenis-jenis rentak Veena dan cara dimainkan manakala Sangeet Darpan menceritakan tentang sistem muzik orang India. Pada abad ke-17, pemerintahan kerajaan Mughal di ambil alih oleh anak Jahangir iaitu Shah Jahan. Beliau juga seorang pemerintah yang menyukai muzik dan seni suara. Beliau menggemari lagu dalam bahasa Urdu yang banyak dipengaruhi dari irama Sufi yang begitu mempesonakan. Beliau juga membenarkan lagu sufi dinyanyikan di dalam aktiviti-aktiviti sebelah petang.

          Ahli muzik yang terkenal pada masa pemerintahan beliau ialah Mahapatten, Jagannath (telah menerima gelaran sebagai Kaviraj), Lal Khan dan Dairang Khan (dikenali sebagai Gunsamudsa). Buku mengenai sistem muzik di India telah diterbitkan pada masa pemerintahan Shah Jahan Sangget Parijat yang dikarang oleh Pt. Ahobal. Kemudian, Sangeet Panjat, Sri Haridaya Narain Deva menulis dua buah buku mengenai seni muzik. Buku tersebut berjudul Haridaya Kautuk dan Haridaya Prakash. Sri Haridaya Narain memperkenalkan shuddha dan Vikrit swaras yang mempunyai perbezaan pada panjang nada dari alat muzik yang bertali. Beliau juga menggunakan shuddha thata mengikut Kaffee thata pada hari-hari persembahan muzik. Pada pertengahan abad ke-17, kegemilangan seni muzik India semakin merosot. Pemerintah Aurangzeb dan Mohammad begitu benci dengan persembahan muzik dan menghalau semua ahli muzik dari istana serta memberhentikan pertunjukan pentas. Mereka juga menanam semua peralatan muzik ke dalam tanah agar muzik tidak akan dimainkan pada masa akan datang (Ram.1980 : 20-21). Pada masa ini, muzik tidak lagi digemari olehgolongan diraja. Walaubagaimana pun terdapat beberapa buah buku mengenai sejarah muzik dan teori muzik telah ditulis pada masa ini. Salah sebuah buku yang terkenal ialah Rag-darpan (The Mirror of Music) yang dikarang oleh Fakirullah (Saif Khan). Buku
tersebut adalah terjemahan kepada Man-Kauthal yang dikarang oleh Raja Man Singh dari
Gwalior di samping menambah beberapa pengetahuan yang di ambil dari sumber-sumber
rujukan lain (S.M.Ikram. 1964 : 252). Dalam muzik India. Thata merupakan hasil yang dibunyikan dari 12 nadadaripada Octava. Thata adalah gabungan mana-mana dari tujuh nada Octava. Sistemskala yang pertama diceritakan di dalam Rag Taranginiyang dikaran goleh seorangpenyair yang bernama Lochan. Terdapat 12 thata di dalam Rag Tarangini iaitu Bhairavi,Tordi, Gauri, Karshat, Kedar, Yaman, Sarang, Megh, Dhanashri, Purvi, Mukhari dan
Deepak.


          Sangeet pula adalah hasil gabungan nyanyian, alat muzik dan tarian yang dibawa masuk bersama-sama dengan penghasilan manusia sejagat yang merupakansesuatu yang sangat perlu dalam kehidupan mereka. Ketika zaman purba, muzik India begitu tinggi tahapnya dalam bidang mistik, falsafah dan saintifik. Ciptaan dan praktikal tersebut disifatkan sebagai Divinities. Terdapat empat alat muzik India yang dimainkan iaitu Tata Jati (alat muzik bertali), Vitata Jati (alat muzik bertali), Sushir Jati(alat tiupan) dan Ghana Jati (alat muzik genderang). (Ram.1980 : 88-149).Alat muzi kpurba India ialah drum dan gong. Alat muzik tersebut di kenali sebagai genderang , mridangan di Selatan India yang dikatakan tidak berapa berkembang. Mridangan boleh menghasilkan pelbagai jenis bunyi. Di sebelah utara, tabla dan dua buah drum diambil daripada tabla Arab yang merupakan alat muzik yang
terpenting kepada muzik India hari ini. Alat muzik bertali seperti biola, petikan gitar sejenis pancang( sebatang kayu atau tembaga yang digunakan untuk tunjuk pada hujung yang ditolak ke dalam). Alat muzik yang paling ringkas adalah sebuah alat muzik bertali iaitu ektara (alat yang berdengung). Alat muzik sitar pula terkenal di kalangan ahli muzik klasik yang mana Ravi Shankar meniru dari sitar Parsi dan digunakan pada abad ke-13 dalam bidang syair. Sarod pula ditiru dari rebab Afghanistan sementara violin Barat dikenali sebagai alat muzik klasik India. Alat muzik tiupan adalah terdiri daripada seruling dan nadaswaran (satu keping kayu nipis yang pada hujungnya terdapat beberapa
alat muzik yang menghasilkan bunyi apabila ditiup) serta shehnai (Tadhika. 1994 : 91).

     SEJARAH SENI MUZIK ISLAM DI ALAM MELAYU

          Tinjauan sejarah muzik Melayu harus dilihat dari sudut dunia Melayu lama yang merangkumi Malaysia, Indonesia, sebahagian negara Thai ,Kampuchea dan Filipina. Dalam konteks ini terdapat banyak persamaan dari segi alat dan struktur muzik. Ini disebabkan wujudnya interaksi antara negara dunia Melayu lama serta dariTimur Tengah, India dan China yang memberi kesan ke atas perkembangan muzik di kawasan ini. Sebelum kedatangan Islam, muzik di Alam Melayu berunsurkan Hindu dan Buddha. Setelah agama Islam mula tersebar di Alam Melayu, unsur-unsur Hindu telah mula dihakis. Di samping kejayaan mengatasi unsur-unsur animisme dan Hindu dalam teater tradisi, Islam juga memperkenalkan bentuk-bentuk nyanyian yang mengagungkan Allah, Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Sekarang ini persembahan ini dikenali sebagai hadrah, rodat, dabus dan dikir rebana. Kesemuanya dipersembahkan secara berkumpulan yang diiringi dengan rebana dan gong (Mohd.Ghouse. 1989 : 1-3).

              Rodat merupakan sejenis muzik yang berasal dari tanah Arab. Perkataan Rodat dipercayai berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ulang-alik, bersahut-sahutan kembali atau yang menunjukkan berbalas-balas. Rodat juga dipercayai lahir bersama-sama nazam, maulud, berzanji, zapin, Qasiddah, nasyid dan berhadrah yang kesemuanya dari Arab dan mengandungi unsur-unsur keislaman memuji Tuhan dan Nabi. Rodat popular di Terengganu. Hadrah pula popular di negeri Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang. Hadrah berasal dari negara Timur Tengah. Perkataan hadrah berasal daripada perkataan Arab yang bererti hadapan. Hadrah merupakan paluan gendang bersertakan nyanyian yang memuji kemuliaan Tuhan, nasihat kepada saudara seagama, pujian untuk pengantin dan sebagainya. Seterusnya, muzik ghazal juga berasal dari Tanah Arab yang dikatakan berkembang pesat di sekitar abad ke-8. Perkataan ghazal dipinjam daripada perkataan Arab yang bermaksud puisi kasih. Penyanyi-penyanyi Parsi dan Greek pada ketika itu dibawa masuk ke Mekah dan Madinah yang kebanyakannya terdiri daripada hamba abdi untuk menghiburkan Raja-raja Kerajaan Umaiyyah. Dari tanah Arab, ghazal berkembang ke Parsi, Turki, India dan tempat-tempat lain termasuklah Malaysia.

          Kedatangan muzik ghazal ke Semenanjung Malaysia di pertengahan abad ke-19 sering dikaitkan dengan persembahan wayang bangsawan. Ghazal mendapat tempat dan berkembang di istana-istana Riau-Lingga. Ghazal menjadi Dendang Istana dan merupakan persembahan utama dalam majlis-majlis keramaian diraja atau di pesta-pesta negara. Hubungan yang erat di antara Kerajaan Johor dan Riau-Lingga menyebabkan raja-raja dan golongan bangsawan Johor sering berulang-alik ke Riau-Lingga. Mereka sedikit sebanyak mempelajari seni ghazal ini dan membawanya pulang ke Istana Johor yang ketika itu berada di Teluk Belanga, Singapura ( Haji Aziz & Wan Ramli. 1994 : 9-27).

          Muzik dabus hampir sama dengan hadrah dan rodat. Kumpulan muzik dabus berzikir memuji Tuhan dan Nabi Muhammad s.a.w dan juga mengiringi tarian biasa dan memenuhi masa rehat Nabi Muhammad s.a.w dengan para sahabatnya. Dabus dibawa ke Sumatera oleh pedagang dan ulama Arab. Dari sana dabus dibawa ke Malaysia dalam kurun ke-18 oleh Nakhoda Lombong (nakhoda kapal) yang datang dari Batu Bara, Acheh. Dabus berasal dari perkataan Bugis yang bermaksud batang besi yang tajam yang dipegang oleh penari semasa menari. Jumlah ahli kumpulan muzik dabus terdiri di antara 15-18 orang yang dibahagikan kepada lapan orang penari dan 8-10 ahli muzik. Alat-alat muzik yang digunakan dalam muzik dabus ialah rebana dan sebiji gong. Bilangan rebana berbeza dari kumpulan ke kumpulan. Sebilangan kumpulan pula menambah alat serunai untuk mengiringi nyanyian syair pada permulaan persembahan. Lagu-lagu dabus dinyanyikan dalam tiga bahasa iaitu Melayu,Acheh dan Arab. Lagu-lagu Arab yang dipetik dari Kitab Berzanji ialah Finhubsa bisherin dan Ya’Kulu In’. Seni kata lagu ini tentang kisah sedih yang berkaitan dengan keperwiraan mengikut rentak gendang. Melodi lagu-lagu sedih adalah perlahan daripada yang berkaitan dengan keberanian. Sebagai contoh, Mobal Lighiar (lagu Arab) yang diterjemahkan kepada loghat Acheh yang mengisahkan tentang peristiwa pertarungan perwira-perwira Islam (Mohd.Ghouse. 1989 :156).

          Muzik nobat juga berasal dari istana kerajaan negara-negara Islam di Timur Tengah. Ini termasuklah kerajaan Iran purba dan kemudiannya popular di istana Iraq, Turki, Mesir, India dan Kepulauan Melayu. Semasa kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu, nobat dikatakan dimainkan di istana Pasai. Muzik nobat dipercayai wujud semenjak pemerintahan raja Pasai iaitu Sultan Malik Ul-Salih atau dikenali juga sebagai Merah Silu. Muzik nobat dari Pasai ini kemudiannya dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu dan memainkan peranan penting dalam istiadat di istana kerajaan Islam Melaka. Pada masa sekarang, nobat hanya terdapat di istana Kedah, Perak dan Terengganu. Ia berfungsi untuk mengiringi istiadat diraja dan sebagai alat yang dibunyikan untuk menandakan waktu solat. Nobat di negeri Kedah dipercayai berasal daripada keturunan Nabi Allah Ibrahim Khalilullah. Tradisi nobat ini kemudiannya diwarisi sehingga ke zaman Iskandar Zulkarnain. Selepas itu, muzik nobat diikuti pula oleh seluruh raja-raja dan setiap lapisan pemerintah di Tanah Arab, Asia Barat dan Timur ( Haji Aziz & Wan Ramli. 1994 : 31-32). Terdapat enam alat muzik yang dimainkan untuk membentuk muzik nobat iaitu sebatang serunai, sebatang nafiri, gendang bulat (anak dan ibu), nahara
dan gong. Nafiri adalah tiupan horn yang mengeluarkan bunyi yang sayup dan menggerunkan. Panjangnya 32 inci dan diperbuat daripada perak. Nahara pula adalah gendang satu muka yang berbentuk cawan berukuran 12 inci panjang, ukuran garis pusatnya 11 inci dan ukuran lilitnya 36 inci. Badannya diperbuat daripada kayu merbau sementara kulit kijang digunakan untuk menutup mukanya. Dua batang rotan halus berukuran 17.5 inci panjang digunakan sebagai pemukul. Semasa dimainkna, nahara disendai dengan semambu( batang kayu 69.5 inci panjang yang dibalut dengan kain baldu kuning) supaya muka nahara mudah dipalu. Gong adalah sebiji gong tembaga yang ukuran lilit mukanya 60 inci dan lebarnya 2.5 inci. (Mohd.Ghouse. 1989 : 167-171).

           Serunai juga tidak kurang terkenalnya di Alam Melayu. Alat muzik serunai dikatakan berasal dari Timur Tengah (Palestin) dalam kurun ke-2 Masihi dan dari sana tersebar ke sebelah timur. Serunai dikenali dengan pelbagai nama, sunray di Parsi, zurna di Turki, mizmar di negeri Arab, gaita di Algeria dan Morocco, zuqra di Tripolis dan Tunisia dan syrnaya di Syria. Alat muzik yang serupa dengan serunai Melayu dikenali sebagai senayi dalam bahasa Sanskrit dan ada kaitan dengan nagashuaram di India Selatan. Di kepulauan Indonesia, serunai dikenali dengan beberapa nama seperti sruni di Jawa, Bali dan Lombok, serunen di Jawa Timur dan Madura, srune di Aceh dan serunai di Malaysia dan Sumatera. Serunai yang berbentuk conical mempunyai tujuh lubang di atas dan satu di bawah. Pemainnya mengulum pipit dan meniup serunai berterusan tanpa berhenti untuk menarik nafas.

           Alat muzik rebab dipercayai berasal dari daerah Kuristan ,Iran Utara yang terdapat di seluruh Asia Tenggara. Rebab dikatakan wujud sebelum zaman Nabi Muhammad s.a.w dan dimainkan oleh Raja Sulaiman dan dilengkapkan lagi oleh Abdullah Faryabi .Rebab jenis Timur Tengah hanya terdapat di Asia Tenggara iaitu di Indonesia, Malaysia, Thailand, Laos dan Kampuchea. Rebab bertali dua didapati di Indonesia dan dikenali sebagai tro khmer (tro u) di Kampuchea. Alat yang sama dengan rebab di Thai ialah so sam sai yang bertali tiga dan dua variasinya ialah so u so duang dan yang tali penggeseknya melalui di antara tali alat ini. Rebab dikatakan dibawa masuk terus ke Alam Melayu lama oleh pedagang Arab sebelum wujud kerajaan Patani.

           Seterusnya ialah alat muzik yang disebut sebagai gendang yang mempunyai pelbagai bentuk. Ada gendang yang berbentuk bujur, berbentuk tong, geduk, gedombak dan rebana. Kettle drum wujud di benua Asia Tenggara pada lingkungan 3000 SM . Keempat-empat gendang tersebut menyerupai gendang di Timur Tengah dari segi bentuk dan cara bermain berbanding dengan kettle drum kebudayaan Dong-Son. Gendang bujur menyerupai gendang mridanga dan gendang Mesir dikenali sebagai gendang di Indonesia dan Malaysia, klong khaek di negara Thai dan sam phu di Kampuchea. Gendang yang berbentuk tong dikatakan berasal dari Duhul, Parsi yang dikenali sebagai klong that di negara Thai dan skor thom di Kampuchea.

          Alat muzik gedombak pula didapati di Negara Thai yang dikenali sebagai rammana dan di Kampuchea sebagai titik skor. Gedombak di Alam Melayu berbeza daripada yang terdapat di Timur Tengah dari segi bahan yang digunakan untuk membuat badannya. Gedombak di Alam Melayu diperbuat daripada kayu sementara di Timur Tengah gedombak diperbuat daripada selut atau logam.(Mohd.Ghouse. 1989 : 6-8).


SENARAI RUJUKAN

AMNON SHILOAH. 1995. Music in the World of Islam : A Socio-cultural Study.
England : Scolar Press.

HAJI AZIZ DERAMAN & WAN RAMLI WAN MOHAMAD. 1994. Muzik dan
Nyanyian Tradisi Melayu. Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn.Bhd.

MAHMOOD MOHD TAIB AN-NAJMI. 1971. Sejarah Tamadun Islam. Kota Bharu :
Pustaka Aman Press.

MOHD. GHOUSE NASURUDDIN. 1989. Muzik Melayu Tradisi. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

S.M.IKRAM. 1964. Muslim Civilization in India. New York : Columbia University
Press.

TADHIKA SRINISARAN. Pngr. 1994. Culture of The World India. Singapura : Times
Books International.

VEER , RAM AVTAR . 1980. Theory of Indian Music. New Delhi : Pankaj Publications.

WAYNE S.VUCINICH. 1965. The Ottoman Empire : Its Record and Legacy. Kanada :
D.van Nostrand Company.

(Bahan dipetik dari http://www.ehoza.com)