MUZIK ASIA

ENSEMBEL MUZIK KLASIK INDIA (KARNATAK)

                Muzik Klasik India (Karnatak), terkenal dan dipelopori oleh masyarakat di bahagian selatan India.  Muzik Karnatak ialah muzik tradisional yang cuba mengekalkan tradisinya sendiri.  Terdapat sedikit sahaja pengaruh dari barat daripada segi penggunaan alat iaitu violin.  Ia tidak banyak diubahsuai, dengan itu ia tetap mempunyai keasliannya yang tersendiri.  Muzik klasik India kuno berasal daripada sumber-sumber kebudayaan Hindu.  Di zaman purba, ia terdiri dari Chanta dan Lagu suci berasaskan kepada kitab ‘Natya Sastera’ oleh pengarang Bharata pada abad ke 2 (200 SM).  Kitab ini menjadi panduan utama muzik klasik India kerana di dalamnya mengandungi semua konsep dan istilah penting dalam seni persembahan muzik klasik India.  Naskah ini ditulis dalam bahasa Sanskrit.  Ia telah berkembang di selatan India selepas abad ke 12 dan kedatangan orang-orang Islam dari utara India.  Muzik klasik Karnatak juga telah berkembang ke Malaysia dibawa oleh guru-guru muzik dari India dan diajar kepada penduduk-penduduk tempatan yang berkerturunan India.

                Muzik India menggunakan skel melodik untuk menghasilkan ‘Raga’.  Irama muziknya dipanggil ‘Tala’ atau ‘Tal’.  Raga ialah asas penciptaan sesebuah melodi.  Ia juga merujuk kepada skel, rangkai irama dan notasi.  Ia mempunyai pertalian dengan mud dan perasaan pendengar dan juga masa-masa tertentu dalam hari iaitu mud waktu pagi, petang, musim-musim dalam setahun, musim panas dan hujan.   Dalam Raga terdapat banyak skel yang dicipta dari satu skel asas.  Skel ini dipanggil ‘Mela’.  Setiap skel yang dibina mempunyai nama tersendiri seperti “Bilaval’, ‘Kalyan’, ‘Khamaj’, ‘Bhairav’, ‘Purvi’, ‘Marva’, ‘Kafi’, ‘Asavariu’, Bhairavi’ dan ‘Tori’. 

                Dalam muzik Karnatak,  peranan alat-alat muziknya adalah mengikut bahagian-bahagian  tertentu iaitu bahagian melodi utama, bahagian melodi yang kedua penting, bahagian rentak dan bahagian dron..  Di antara alat-alat muzik yang digunakan ialah violin,venu,gottuvadyam, kanjira,  vina, tanbura, bansuri, nagasvaram, mrdanga dan ghatam.   

                Pada peringkat awal, muzik Karnatak digunakan dalam upacara keagamaan.  Kini ia merupakan muzik komersial untuk hiburan dipersembahkan dalam bentuk orkestra seperti persembahan kebudayaan muzik klasik India,  perfileman dan juga untuk hiburan umum melalui media televisyen, radio dan persembahan tarian kebudayaan.






Gendang 24 Musim

Asal usul
            Gendang 24 musim ini berasal dari negeri China.  Lazimnya terdiri daripada 24 buah gendang besar.  Ensembel ini dinamakan Gendang 24 Musim kerana setiap gendang besar ini dinamakan berasaskan satu musim pertanian. Nama musim itu ditulis pada gendang dengan kaligrafi Cina.

Dalam kalendar Cina, setiap musim besar (musim bunga, musim panas, musim gugur dan musim dingin) dibahagikan  kepada 6 musim kecil.  Oleh itu, dalam satu tahun kalendar Cina terdapat 24 musim kecil.  Musim kecil ini ada kaitan dengan jadual pekerjaan petani di negara China.   Mengikut kalendar Cina, petani akan tahu bila mereka patut membajak tanah, menyemai, menuai dan lain-lain tugas pertanian.

            Koreografi pergerakan pemain muzik juga mengikut aksi tugas-tugas pertanian.  Rentak gendang biasanya menggambarkan suatu suasana atau gerakan pekerjaan.  Walaubagaimanapun, corak permainan dan gaya persembahan agak berbeza dari satu kawasan dengan kawasan yang lain mengikut kehendak jurulatih.  Gendang ini biasanya diimport atau dibeli dari China .

Persembahan
            Semasa persembahan, pemain dram akan memakai kostum tradisional lelaki Cina.  Mereka juga menggunakan prop lain seperti topeng, bendera berwarna-warni dan kain panjang berwarna.
            Di Malaysia, pasukan Gendang 24 Musim ditubuhkan oleh En. Tan Hooi Song dan En. Chen Zai Fan pada 12 Jun 1988.  Pada tahun  yang sama, persatuan Choong Hwa Johor Bharu mengadakan pesta Tarian Ulang Tahun ke 9  yang pertama “JiuWu”.  9 buah gendang Cina  digunakan untuk upacara permulaan pesta tarian tersebut.  Persembahan ini telah menarik perhatian orang ramai.   En Tan Hooi Song mendapat inspirasi menubuhkan Gendang 24 Musim ini semasa pesta tarian tersebut.  Sekolah pertama yang menubuhkan kelab Gendang 24 Musim ialah Sekolah Menengah Persendirian Foon Yew, Johor Bharu.

            Ensembel gendang ini telah dipentaskan buat pertama kalinya di Johor Bharu pada tahun 1988 oleh persatuan-persatuan kaum Cina.  Sejak tahun 1990-an, ensembel gendang ini telah berkembang dengan pesat di  Malaysia terutamanya di sekolah-sekolah dan persatuan-persatuan Cina.

Fungsi
            Gendang 24 Musim merupakan sejenis ensembel gendang besar yang dipersembahkan pada majlis perayaan besar kaum Cina.  Selain daripada melambangkan kebudayaan Cina, gendang 24 musim juga merupakan salah satu kebudayaan di Malaysia.  Kini persembahan ensembel ini tidak terhad kepada  perayaan besar kaum Cina  sahaja, malahan ia turut dipersembahkan sebagai tontonan untuk  hiburan di majlis-majlis rasmi mahupun kerajaan. Ensembel Gendang 24 Musim boleh dipersembahkan di atas pentas atau di kawasan terbuka seperti padang besar.

Alat Muzik
            Alat muzik yang lazimnya digunakan dalam persembahan ini ialah 24 buah gendang shigu, iaitu dram tarian singa.  Kadang-kala, gendang longgu yang lebih tinggi juga digunakan untuk mendapat pic yang pelbagai,  kedua-dua gendang ini hampir sama dan merupakan gendang besar berbentuk tong. Gendang ini mempunyai satu muka kulit kerbau/lembu pada bahagian atas yang dipakukan pada bahan kayu dengan paku besi.

Di dalam gendang ini terdapat beberapa dawai besi  seperti spring yang memberikan warna ton  istimewa.  Gendang ini diletakkan di atas rak kayu berkaki empat.  Muka kulit gendang dipukul dengan dua pemukul kayu.

Teknik Permainan
            Setiap gendang menghasilkan kualiti ton atau timbre yang berbeza.  Ton dihasilkan mengikut  teknik paluan tertentu.  Umpamanya, bunyi berdering yang rendah ‘dung’ dihasilkan apabila pemain gendang memukul bahagian tengah muka kulit  dengan pemukul kayu.  Bunyi ‘tik’ yang tinggi dan pendek dihasilkan semasa pemain gendang memukul kedua-dua pemukul kayu.  Bunyi ‘tak’ yang tajam dan pendek(seperti bunyi kayu diketuk) dihasilkan semasa pemain gendang memukul bahagian tepi muka kulit.

Muzik Gendang 24 Musim
            Dalam persembahan Gendang 24 Musim, bunyi yang didengari penonton ialah bunyi rentak terhasil yang dimainkan  oleh kesemua 24 pemain dram. Lazimnya pemain gendang dibahagikan  kepada  beberapa kumpulan  yang memainkan rentak tersendiri.

            Terdapat beberapa rentak asas yang diketahui umum oleh semua pasukan gendang di Malaysia.  Rentak asas ini dicipta oleh En. Chen Wei Chong dan ahli-ahli kumpulan pertama yang ditubuhkan di Johor Bharu.  Mereka telah mengajar rentak asas ini kepada kumpulan  lain.

            Setiap rentak asas ini membayangkan suatu suasana atau pergerakan tugas petani. Contoh, dagu bermaksud membanting padi.  Satu kumpulan pemain gendang akan melompat ke kanan dan kemudian ke kiri setiap dua bar  seperti membanting padi.









Orkestra Cina Moden.
Asal Usul
Orkestra Cina Moden Huayue Tuan mula berkembang di negara Cina sekitar tahun 1930an yang ketika itu masih terpengaruh oleh barat.  Orkestra ini mula mendapat perhatian masyarakat Cina di Malaysia hanya pada tahun 1960an melalui  rekod-rekod (album) dan pemuzik tempatan yang melanjutkan pelajaran di Hong Kong.

            Huayue Tuan merupakan salah satu ensembel muzik yang popular di kalangan masyarakat Cina di Malaysia.  Ensembel terdapat di bandar-bandar besar yang menjadi tumpuan kaum Cina seperti di Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur, Johor Bharu, Alor Setar, Melaka, Kuantan dan Kuching. 

Persembahan
            Susunan Orkestra Cina Moden adalah sama seperti  kedudukan orkestra barat yang menggunakan  konduktor serta skor muzik.  Disebalik pengaruh kuat daripada unsur-unsur orkestra Barat, beberapa unsur Cina masih dikekalkan seperti penggunaan alat-alat muzik tradisional Cina.  Walau bagaimanapun, alat-alat muzik tradisional ini telah diubahsuai supaya dapat menghasilkan bunyi yang lebih kuat dan julat suara yang lebih luas.

            Persembahan Huayue Tuan, lazimnya dianjurkan oleh Institusi pertubuhan Cina, Persatuan Buddhist, dan sekolah-sekolah Cina.  Ensembel ini dipersembahkan bagi tujuan mengutip derma bagi persatuan atau kebajikan masyarakat umum di samping sebagai hiburan kepada pendengar.


1 comment:

  1. Halo, saya nak cakapkan, Gendang 24 perayaan ialah berasas dari malaysia bukan cina!

    ReplyDelete