Pencipta lagu kita seharusnya belajar daripada negara Indonesia bagaimana membuat lagu
Saya bukannya pengkritik tegar industri seni negara. Serius, saya adalah golongan mereka yang cukup bangga dengan hasil negara. Artikel saya kali ini pun bukannya berniat memburukkan industri seni kita, justeru hanya berniat membuka minda orang seni kita agar memerhatikan sedikit kekhilafan yang mungkin mereka lupa semasa menghasilkan lagu. Iya kita seharusnya belajar daripada negara jiran bagaimana menghasilkan lagu yang bagus untuk pasaran tempatan.
Saya tahu pemuzik Indonesia jauh lebih ramai daripada negara kita, tapi saya rasa kuantiti bukanlah faktor utama kepada penciptaan lebih banyak lagu berkualiti dan sedap untuk didengar. Lagi pun apa yang saya perhatikan, orang seni kita sebenarnya sangat cenderung untuk memanipulasikan sesuatu keadaan.
Lihat dan kiralah sendiri berapa dozen kumpulan serta artis yang lahir atas tiket muzik dangdut yang pernah popular suatu ketika dahulu, atau pun muzik rock yang pernah menjadi kegilaan remaja kita beberapa dekad yang lepas datang dan pergi. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan bukan?
Terbaru kegilaan pemuzik kita menghasilkan lagu Indie. Jadi beritahu saya apa yang kita ada? Satu lagi putaran seni yang menurut saya memanipulatif peredaran muzik semasa.
Bandingkan dengan apa yang negara jiran kita ada. Kita seperti bayi yang baru belajar membuat lagu. Muzik mereka universal, tidak dipengaruhi oleh mana-mana tekanan atau irama yang tengah hangat di pasaran. Apa yang pasti mereka tahu dan berani bermain dengan muzik baru (Contohnya wali band yang bijak mengkomersilkan lagu dakwah dengan muzik pop). Muzik kita pula adalah muzik ekspres dan berpaksikan keuntungan. Kita cuba berselindung di sebalik kegagalan kita berkarya dengan apa yang menjadi kegilaan kini. Natijahnya muzik kita kelihatan seakan-akan miskin, miskin tema.
Perhatikan juga kepada kebanyakan lirik lagu mereka, anda akan terpesona dengan bait demi bait perkataan yang menjadi inti lagu tersebut. Susunan ayatnya sungguh teratur dan mendalam. Saya rasa inilah hasilnya bila mata sentiasa terbuka melihat erti sebenar kesusasteraan. Betul, kita selalu lupa muzik itu sebenarnya satu sastera, seni dan kebudayaan.
Pada kita lagu itu cuma salah satu medium untuk melepaskan tekanan. Boleh jadi tiket untuk berjalan di atas karpet merah.
Atas dasar itulah lagu-lagu yang kita ada dewasa ini saya perhatikan semakin bercelaru, seperti kekurangan sesuatu. Saya tahu bukan mudah untuk menghasilkan karya yang mendapat tempat di hati pendengar tanpa melalui eksprimentasi, itu adalah kenyataan yang paling konkrit sekali. Apa lagi bila hidup di bumi yang mana kalangan pengkritik lebih banyak berbanding mereka yang menyokong industri sendiri. Tapi satu yang saya tidak boleh terima ialah sikap mengambil mudah dan memperlekehkan bahasa sebagai eksperimentasi muzik. Mungkin atas dasar itu kita semakin hanyut dengan kerancuan bahasa. Biasalah kalau guru sudah kencing berlari, murid pula kena lebih, kencing berlari.
Satu yang pasti album yang dihasilkan oleh pemuzik Indonesia berbaloi untuk dimiliki. Kebiasaannya hampir semua lagu yang ada sama bagusnya dengan lagu yang menjadi ‘killer song’. Ini jauh berbeza dengan apa yang kita ada. Kita seolah-olah “dipaksa” untuk membeli sebuah album hanya untuk mendengar sebuah lagu, yang lainnya sekadar untuk mengabui mata. Kalau pun ada album yang sebegitu, saya pasti ia hanyalah mini album yang harganya lebih kurang sama dengan harga album penuh. Jadi jangan salahkan pengguna bila mereka lebih senang mencuri dan membeli barangan cetak rompak sebagai pilihan berbanding menyokong industri seni sendiri.
Macam manalah agaknya kita hendak berbicara mengenai keperluan menyokong industri seni yang semakin tenat, sekiranya hal-hal sekecil ini pun gagal untuk ditelusuri oleh mereka yang kononnya sedang sibuk memperjuangkannya. Saya rasa tidak perlulah saya mengulas lebih banyak contoh-contoh yang ada untuk menyokong kenyataan saya ini kerana ia secara tidak langsung akan mendedahkan lebih banyak kelemahan pemuzik kita.
Nasihat saya, lebih elok kita belajar daripada kesilapan daripada terus-terusan mencari alasan mengapa lagu kita semakin kurang diputarkan di radio tempatan. Kita sebenarnya ada sirih, tetapi hendak makan sepahnya.
No comments:
Post a Comment